Pages

20 May 2010

Info:Anak Angkat

Kawan saya ada bertanya bagaimana hendak mengambil anak angkat. Jadi di sini saya hendak berkongsi maklumat yang saya perolehi dari internet...


Dari website Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) anda akan memperoleh maklumat berikut :

Apakah proses-proses yang perlu dilakukan oleh bakal ibu dan bapa angkat?

Bagi individu yang berminat untuk memohon anak pelihara, permohonan boleh dilakukan dengan mengisi borang permohonan yang boleh didapati melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) dimana pemohon bermaustautin/tinggal ataupun melalui borang yang boleh dimuat turun dari laman web ini.

Antara dokumen-dokumen yang perlu disertakan adalah:

   1. Gambar ukuran pasport (suami/isteri)
   2. Surat sokongan/pengesahan daripada Pegawai Perubatan.
   3. Salinan sijil nikah/sijil pendaftaran perkahwinan.
   4. Salinan kad pengenalan pemohon (suami dan isteri).
   5. Lain-lain dokumen yang berkaitan seperti penyata gaji dll.

Setelah permohonan diterima, pemohon akan melalui satu sesi temuduga bersama Pegawai Kebajikan Masyarakat bagi tujuan penyediaan laporan sosial pemohon. Perkara-perkara yang akan di bincangkan dalam sesi tersebut adalah seperti berikut:-

   1. Menilai latar belakang sosial pemohon.
   2. Menilai kesanggupan pemohon menjadi keluarga pelihara.
   3. Menjelaskan tentang implikasi menjadi keluarga pelihara.
   4. Kesanggupan pemohon memenuhi syarat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 dan Akta Pengangkatan 1952 yang mana bersesuaian.

Siapakah yang boleh memohon anak angkat atau anak pelihara?

Pasangan suami isteri yang sah atau inu tunggal (single parents) yang menetap atau tinggal di Malaysia


Bila dan bagaimana anak angkat boleh disahkansebagai anak pelihara mengikut undang-undang?

  •  Permohonan boleh dibuat dalam masa tiga bulan selepas menerima kanak-kanak dalam penjagaan pemohon. Permohonan hendaklah dibuat kepada Mahkamah Seksyen atau Mahkamah Tinggi dengan melantik peguam untuk urusan mendaftarkan Notis Pengangkatan. Akta yang digunapakai bagi proses pengesahan pengangkatan cara ini adalah merujuk kepada Akta Pengangkatan 1952 (Akta 257).
  • Permohonan cara kedua adalah dengan membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara di bawah Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (Akta 253). Permohonan untuk pengesahan ini hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak pelihara dalam penjagaan keluarga pelihara. Bagi keluarga yang beragama Islam permohonan untuk pengesahan anak pelihara hanya boleh dibuat melalui Akta 253, iaitu Akta Pendaftaran Pengangkatan sahaja. Permohonan untuk pengesahan pengangkatan hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak pelihara berada dalam jagaan pemohon. Permohonan boleh dibuat di Pejabat Pendaftaran Negara

 Adakah menjadi satu kesalahan memelihara anak pelihara tanpa membuat pendaftaran atau memaklumkan pada pihak JKM?


Pengambilan anak pelihara secara sendiri perlu dimaklumkan kepada JKM mengikut seksyen 35(1) Akta kanak-Kanak 2001 tidak lewat daripada 1 minggu selepas pengambilan, dan sekiranya gagal memaklumkan, dan jika disabitkan kesalahan denda maksima adalah sebanyak RM10,000.00 atau 2 tahun penjara, atau kedua-duanya sekali.


Satu lagi website yang boleh dikunjungi adalah website Persatuan Peguam Syarie Malaysia yang menyatakan perkara di bawah:-

Anak angkat sudah dikenali sejak zaman jahiliah sebelum ada risalah Nabi Muhammad SAW. Ketika itu anak angkat dinasabkan kepada bapa angkatnya serta boleh menerima perwarisan. Malahan isteri anak angkat haram dikahwini oleh bapa angkatnya.

Justeru, umumnya anak angkat mendapat hak yang sama seperti anak kandung. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengambil Zaid bin Haritsah bin Syarahil Al-Kalbi sebagai anak angkat sebelum beliau menjadi rasul, sehingga dipanggil dengan nama Zaid bin Muhammad. Tradisi itu berlanjutan dari zaman jahiliah hingga tahun ketiga atau keempat hijrah.

Allah kemudian memerintahkan anak angkat dinasabkan kepada bapa mereka (yang sebenarnya) apabila diketahui. Allah mengharamkan anak angkat dinasabkan kepada bapa angkat secara hakiki, bahkan anak juga dilarang bernasab kepada selain bapa mereka yang sebenarnya.

Allah mengungkapkan hukum itu sebagai bentuk keadilan yang mengandungi kejujuran dalam perkataan, menjaga keharmonian nasab serta menjaga hak harta bagi orang yang berhak memilikinya.

Islam tidak menggalakkan konsep anak angkat tanpa sebarang ikatan diiktiraf. Berbeza dengan anak susuan, anak angkat adalah dikira sebagai orang asing dalam rumah, maka semua batasan aurat perlu dijaga seperti wanita di luar rumah.

Ia adalah fenomena tidak sihat menurut Islam. Jika seseorang tahu statusnya sebagai anak angkat hanya ketika ia sudah dewasa, maka bermula daripada ia sedar semua batasan aurat mesti dijaga seperti dituntut Islam kepada lelaki dan perempuan bukan mahram.

Dari segi pembahagian harta bagi anak angkat, Islam menetapkan anak angkat tiada hak dalam harta pusaka. Jika hendak bagi juga harta kepada anak angkat, harta itu hendaklah dibahagi secara hibah ketika hayat bapa atau ibu angkat. Selain itu adalah dengan cara mewasiatkan harta kepada anak angkat, tetapi dengan syarat tidak boleh mewasiatkan lebih daripada satu pertiga harta yang ada.

Mengambil anak angkat untuk dijadikan sama macam anak sendiri dilarang oleh syarak seperti dilarang menukar bin anak angkat tersebut. Mengambil anak angkat seperti anak luar nikah yang tidak dipedulikan orang bertanggung jawab adalah digalakkan di sisi syarak.

Dalam sesuatu keadaan, hukum mengambil anak angkat ini boleh menjadi wajib apabila timbulnya ketakutan anak itu akan jatuh ke tangan orang kafir. Justeru bagi mengelakkan akidah anak itu terpesong, Islam mewajibkan anak berkenaan diambil serta dijadikan anak angkat.

No comments:

Post a Comment